Assalamualaikum...

Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Kami adalah penjual Cloth Diapers dan menawarkan harga serendah RM18/Pcs.
Jika anda berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut,
anda boleh lihat jenis-jenis Cloth Diapers yang kami jual di bahagian kanan blog ini.
Anda juga boleh hubungi 019-3535514 (Adah) atau 019-3474267 (Shah).
Pertanyaan juga boleh diajukan melalui SMS atau E-Mail :
nursyahadah.af@gmail.com

Beberapa produk lain juga akan muncul dari masa ke semasa.
Jadi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan update dari blog kami.
Terima kasih.

Tuesday, 16 August 2011

Catatan Kembara Pulang

Assalamualaikum...

Untuk entri hari ni, saya ciplak dari facebook sahabat saya, Siti Aishah Hanin... tapi sebenarnya saya dah pun minta izin dari dia untuk siarkan tulisan dia di laman blog saya... atas alasan? sahabat saya ni memang sangat rajin menulis, dan saya sangat sukan pada tulisannya... dengan perjalanannya hidupnya yang sangat panjang (sama dengan saya je kot, eheheeh~), dia banyak menimba pengalaman sampai ke negara timur tengah...saya pernah cuba nak menulis seperti dia, tapi tak menjadi la pulak... sebab bakat ni bukannya boleh dibuat-buat... jadi, saya ingin kongsikan kepada viewer Sayang Ummi untuk sama-sama kita baca dan ambil pelajaran dari cerita yang dia tulis...

------------------------------------------------


Mula cuti musim panas, berduyun-duyunlah perantau berangkat pulang ke tanahair. Terutamanya bila dibayangi pilihanraya Mesir yang akan berlangsung, hampir setiap hari boleh didengar berita pelajar berangkat pulang. Yang penting poket kembung, maka Malaysia tercinta seolah2 berada di sebelah Kaherah. Perjalanan musafir sebenarnya satu pengalaman yang indah jika direnung-renungkan. Besar ertinya terutama bagi yang miskin (seperti saya) dan tidak dapat selalu pulang ke tanahair, maka perjalanan yang berkos tinggi itu dianggap satu percutian juga. Ibarat percutian di laut dengan kapal mewah, ini percutian di atas langit!

Saya ingin kongsikan ‘percutian langit’ yang dilalui pada Februari lepas. Dalam keriuhan evakuasi gara-gara revolusi rakyat Mesir, saya pulang nyaman menaiki penerbangan Royal Jordanian dengan sekali transit di Amman. Sebenarnya memang sudah merancang mahu pulang bercuti sebulan di musim sejuk. Langsung tidak menyangka akan berlaku revolusi pada tarikh yang dirancang. Bersyukur sempat melalui seminggu dalam revolusi, dapat saya menjadi sebahagian dari mereka dan lihat sejarah terukir di depan mata.


CAIRO-AMMAN

Bagi saya, ini adalah keputusan berani mati. Pertama kali pulang + berseorangan + tak ada visa + negara sedang darurat. Alhamdulillah tiada masalah dengan syarikat penerbangan. Macam kawan2 yang melanggan Egypt Air, seminggu mereka terkandas di airport sejak bermulanya tsaurah. Macam mana pun terpaksa juga bertolak awal ke airport kerana perintah berkurung akan bermula jam empat petang sedangkan tiket saya jam sepuluh setengah malam. Tak mungkin ke mathor lagi pada waktu begitu. Jam dua belas tengahari sudah melangut di terminal satu, sempat ditegur pegawai kedutaan yang merayau-rayau memeriksa pelajar Malaysia yang akan pulang. Kebetulan hari itu evakuasi bermula. Kasihan saya lihat sahabat2 beratur di luar terminal dalam terik matahari menunggu dipanggil masuk. Macam mana pun bersyukurlah….sebab kamu balik free!

Menunggu jam sepuluh malam amat menyeksakan. Kebetulan ada sekumpulan adik-adik perubatan dari Mansurah ‘membuka khemah’ di tempat berhampiran, saya terus duduk sekali dengan mereka. Sejuk lantai marmar dah tak peduli lagi. Bimbang memikirkan perjalanan malam nanti buat saya tak lalu makan walaupun sesuap nasi. Mengingatkan tragedi kapal terbang terhempas yang selalu didengar lagilah menambah ngeri! Jam sepuluh malam saya check-in. Di sini polis pemeriksa membuat saspen menyuruh saya memunggah sebuah kotak hijau yang dibawa. Alamak, tu kotak member! Saya pasti dia hanya membawa ubat-ubat herba seperti lazimnya pelajar Malaysia yang lain. Beberapa minit berdolak-dalih akhirnya saya dilepaskan. Passport yang kosong tanpa cop visa juga lepas. Alhamdulillah. Agaknya polis tu kesian tengok budak kenit sorang-sorang terkial-kial dengan kotak gadang.

Dalam perjalanan nanti akan ada transit. Ke mana nak dibawa kaki? Kat mana nak tunggu? Saya bimbang. Dalam berlakon tenang saya merayau-rayau di kedai bebas cukai. Niat mahu menambah buah tangan buat keluarga sekaligus mengurangkan ketebalan pound Mesir di dalam poket. Tiga kotak manisan saya bawa ke kaunter. 66 Dolar semuanya, tapi saya minta mahu bayar dengan Junaih. Punyalah seronok arab cashier. Baginya satu kebanggan bila duit Mesir dipakai di premis antarabangsa ( insaf seketika memikirkan sikap bangsa Melayu saya yang lebih berbangga dengan budaya luar dari warisan ibunda). Saya ketawa meraikan kegembiraan si Arab sambil jari menggeletar mengambil duit. 460 Junaih untuk tiga kotak manisan! (Huhu~ padan muka. Nak sangat beli tadik….)

Sudah membuang duit, saya duduk di tempat kosong bersebelahan seorang pemuda arab. Ahmad namanya. Saya teka dia dari Mesir atau Jordan, rupanya anak jati Syria. Bila mengetahui saya dari Malaysia, bertali-tali dia memuji pelajar Malaysia di Syria yang rajin menadah kitab di masjid-masjid Damsyik. Sedetik saya bangga. Terima kasih kamu di Syria kerana menjaga nama baik negara. Seketika kami berbual tentang revolusi yang sedang berlangsung. Saya dapati Ahmad sederhana orangnya. Dia tidak mengutuk Husni Mubarak bahkan menghormati keputusan-keputusannya sebagai pemimpin negara. Dengan jujur dia memberi komen tentang tahap kebersihan rakyat Mesir. Saya walaupun setuju dengan komennya tetap juga terpalit malu kerana Mesir ini sudah seperti kampung kedua saya.

Bila dipanggil masuk, saya segan-segan mengikut Ahmad. Memandangkan diri jahil dengan prosedur di lapangan terbang, saya berniat menjadikan dia ‘panduan’ musafir walaupun tahu destinasinya akan berakhir di Amman. Di depan pintu masuk saya lihat satu sosok Melayu berdiri dengan bagasi. Selepas bertanya dan memastikan destinasinya ke Kuala Lumpur, saya terus mengucapkan terima kasih kepada Ahmad dan beratur berhampiran akhi malizi ni..

Penerbangan ke Jordan hanya sejam. Saya tenung kerlipan Kaherah dengan mata berkaca.Afwan, akhi Misriyin….saya tinggalkan kamu sendiri menghadapi saat sukar begini. Jika bukan kerana takdir sudah mengatur, rasanya tak mahu pulang dan ingin bersama Misriyun yang dikasihi. Tak lama, deretan lampu-lampu kapal yang sedang melewati Terusan Suez menghiburkan hati. Terus lupa sedih tadi dek kekaguman melihat pemandangan di bawah sana.


Gambar Terusan Suez

Transit di mathor Queen Alia sepatutnya hanya sejam. Tapi ditangguhkan ke jam lima pagi mengikut penerbangan lain. Aduh, rasa dengki tengok akhi yang bersama saya berbaring enak di kerusi. Saya berlipat-lipat memeluk beg memaksa tidur sambil cuba bersopan. Jam lima penumpang pesawat pagi menderu masuk ke terminal. Kami bertemu sekumpulan pelajar Thailand dan Malaysia di Jordan yang akan turut pulang ke tanahair. Lega hati saya berbunga-bunga bila teman musafir bertambah.

AMMAN - KUALA LUMPUR

Alhamdulillah, Royal Jordanian memang penerbangan yang selesa. Dengan bacaan doa sebelum berlepas, saya rasa benar2 tenang untuk terbang. Cuma hidangannya yang ringkas dari menu arab buat saya kelaparan. Baru teringat saya belum makan sejak jam sepuluh pagi semalam! Sengsara juga menahan gendang di perut berbaur tekanan udara di atas langit. Setiap sepuluh minit saya lihat peta penerbangan. Jauh lagi….

Saya duduk bersebelahan seorang nenek dari England. Di kerusi depan kami, anak dan cucu perempuannya. Kami hanya berbual apabila menghampiri airport Suvarnabhumi, Bangkok. Saya terpaku mendengar pertuturannya dengan slang Inggeris asli. Memang sedap sangat! Rupanya mereka sekeluarga suka melancong. Bila tahu saya dari Malaysia, seronoklah anaknya yang di depan menyampuk bercerita tentang pengalaman bercuti di Malaysia. Katanya : “Kuil2 di Malaysia menakjubkan. Saya tak pernah lihat kuil2 yang hebat macam tu walaupun ketika melawat India!”. Haha~…..kuil Malaysia lebih hebat dari India? Saya tak tahu itu pujian atau hinaan. Hanya mengukir senyum senget meraikan ceritanya. Si nenek pula apabila melihat Al-Quran terselit di depan saya dia membuka topik agama. Dengan bahasa Inggeris yang terhad saya cuba melayan yang termampu. Katanya dia seorang free thinker. Baginya semua agama baik dan menyeru kebaikan. Dalam kalut lihat dia berkemas mahu turun, saya hanya angguk mengiyakan cakapnya. Selepas itu menyesal – mana ada semua agama sama. Islam berbeza! Totally different!

Dari Bangkok ke Kuala Lumpur, saya maki kelemahan diri kerana tidak menguasai Bahasa Inggeris. Kalaulah saya dapat beritahu nenek itu bahawa Islam berbeza – walaupun hanya satu ayat – mungkin nenek itu akan berfikir, menemui hidayah dan menjadi muslim sebelum dia mati. Ya Allah ampunkan kekurangan saya… Dalam penerbangan singkat ke Kuala Lumpur barulah dihidangkan mi. Alhamdulillah, dapat la mengalas perut walaupun rasanya macam nak mintak tambah! Sampai di KLIA sambil mencari pintu keluar, barulah saya berkenalan dengan akhi yang bersama sejak dari Kaherah. Ust Daniel yang muda lima tahun dari saya, persahabatan kami terjalin sejak itu. Merenungi sepanjang perjalanan itu terasa syukur dan insaf. Syukur kerana perjalanan yang diharungi dengan sepenuh tawakal akhirnya Allah kirimkan teman. Insaf memikirkan permusafiran ke barzakh kelak jika tidak berbekal amalan yang cukup, tak mungkin akan dapat berehat dengan nyaman…..sepertimana tiket yang mahal boleh menyewa penerbangan yang selesa!

KUALA LUMPUR – AMMAN – CAIRO

Musafir kembali ke Mesir tidak lagi seharu yang pertama. Sudah jelas dengan segala prosedur di lapangan terbang, saya tak takut mahu melaluinya seorang diri. Denda kerana melebihi kg di KLIA tidak menggusarkan. Saya enak melantak durian yang dibawa kakak sejurus sebelum menaiki penerbangan. Kakak menawarkan air mineral untuk dibawa naik. Saya tolak dengan selamba mengingatkan air yang diberi ‘melimpah-ruah’ dalam penerbangan nanti.

Dari Kuala Lumpur ke Bangkok, saya duduk di sebelah sekeluarga cina Malaysia. ‘Aura’nya sangat aneh tidak seperti saya duduk bersama rakyat asing. Entah kesombongan atau prejudis yang menebal, saya pecahkan dengan menegur anak gadis mereka yang duduk di sebelah saya. Bila ditegur ramah rupanya, tapi saya hanya berbasa-basi sebelum melelapkan mata dek kepenatan. Sejak pagi tadi berlari2 ke kedutaan Mesir mendapatkan visa masuk, malam ini saya mahu qadha berehat puas-puas!

Dek nyenyaknya tidur saya hanya terjaga apabila penumpang bertukar di airport Bangkok. Gelap malam di luar + mamai terjaga dari tidur buat saya tersilap sangka sudah sampai di Jordan. Kalut berkemas-kemas mahu turun transit di lapangan terbang. Mujur perempuan Inggeris yang baru duduk di sebelah menjelaskan keadaan. Kami ketawa dan saya duduk semula menyambung rehat. Waktu makan saya berbual ringan dengan perempuan di sebelah. Katanya dari Dominic. Mungkin Republic of Dominica, fikir saya. Slanga inggerisnya pun berlainan dari nenek yang saya jumpa dalam penerbangan pertama. Selera berbual terbantut bila dia memperkenalkan diri sebagai guru bahasa inggeris. Huhu~ nanti kantoilah broken English saya. Tapi sungguh diri keletihan, mata kelat macam ditaruh gam. Saya tidur di depan hidangan.

Tengah penerbangan saya terjaga rimas. Aduh, panas durian dah mula membakar. Air mineral tak pula dibagi sebanyak sebelum ni. Barulah saya teringat kakak, teringat air mineral yang dipelawanya. Menyesal sungguh berlagak tadi. Sekarang padan muka. Dalam kenyamanan udara kabin saya terkirai-kirai kepanasan. Hari mula pagi saat kami memasuki Jordan. Saya tak lepaskan peluang melihat matahari terbit di luar. Subhanallah, fajar di atas langit indah nian.

Sedang transit, saya keliru mencari terminal. Terminal berlepas di Queen Alia airport semuanya berbentuk Y, dihubungkan kedai bebas cukai di tengah-tengah. Pergilah mana terminal pun semuanya kelihatan sama. Penat mencari, saya putuskan untuk ke surau menunaikan subuh walaupun waktunya sudah lepas. Syukur Alhamdulillah rupanya surau terletak berdepan terminal 7 yang saya cari. Kalaulah tidak digerakkan hati mencari surau tadi rasanya saya akan terlepas flight ke Mesir. Usai mengqadha subuh saya melangut di kerusi menunggu panggilan masuk. Sepotong ayat yang menghiasi dinding kafe di depan, saya tatap dalam-dalam.

“Dunia ibarat sebuah buku, siapa yang tidak mengembara dia hanya membaca satu muka surat sahaja”

Benar. Tapi, ada tapinya. Zaman ni kalau xde duit xboleh mengembara. Dah dapat mengembara pun kalau tak direnungkan hikmah perjalanan maka kembara jadi sia-sia….

Entah hikmah apa yang saya dapat dalam kembara ini, masih difikirkan. Apapun saya bersyukur dapat merasa ke luar negara, ‘bercuti di atas langit’ dan bertemu masyarakat yang asing dari dunia saya. Mereka ini bila berhubungan secara langsung, tidaklah sombong seperti yang dibayangkan dalam media. Saya langsung tidak melihat tanda-tanda Islamophobia pada orang-orang yang saya temui melainkan prejudis dari Cina Malaysia sendiri. Akhirnya saya buat kesimpulan : semua manusia fitrahnya damai dan sejahtera, kecuali anak-beranak Bush dan rakan taulan.

Terbang pulang ke Mesir jam lapan pagi, hari sudah mula panas. Kali ini saya dapat melihat pemandangan indah di bawah, dari Laut Mati ke dataran Sinai dan Terusan Suez hinggalah ke Delta Nil. Subhanallah, subhanallah tiada ucapan yang lebih layak darinya. Selama ini hanya menonton di National Geographic, macam tak percaya dapat melihatnya dengan mata kepala sendiri. Subhanallah. Terima kasih Allah yang memberi kesempatan.

Dari Kanan : Teluk 'Aqabah, Dataran Sinai, Laut Mati, dan Delta Nil

Catatan kembara berakhir. Musafir bagi saya adalah satu percutian, terutamanya jika ke tempat yang belum pernah dikunjungi. Beruntung sahabat-sahabat yang dapat pulang setiap tahun, kamu melalui banyak pengalaman yang berbeza. Bersyukurlah dengan mudahnya hidup kita di zaman ini dibandingkan zaman silam yang musafirnya ibarat berpisah mati. Bersyukurlah kita dan galilah hikmah sebanyaknya moga setiap yang kita belanjakan tidak habis dengan sia-sia.

p/s : seronok jugak dengar citer kengkawan yang merasa naik Charlie. Walaupun xselesa tapi pengalaman tu mahal tau! Kamu masuk TUDM pun tentu dapat naik kalau xde misi2 khas. Dan yang penting kamu balik free! Maka bersyukurlah!
------------------------------------------------

by Siti Aishah Hanin on Wednesday, July 27, 2011 at 6:25pm



Terima kasih kerana membaca entri ini.
Sila klik Like jika anda suka entri ini.

No comments:

Post a Comment